Home > ikhtiar, pedoman, perhimpunan, politik > Membetulkan kecelaruan politik di negara Islam

Membetulkan kecelaruan politik di negara Islam

Pergolakan politik di negara negara Islam perlu dilihat dalam perspektif Islam. Umat Islam perlu meninjau kembali sejarah Islam dan mengambil iktibar dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara.

Sistem kepimpinan dan pentadbiran negara perlu diasaskan kepada keimanan, ketaqwaan dan kecintaan kepada Illahi dan agama ke tahap yang paling tinggi. Jika prinsip prinsip ini dijadikan sebagai amalan oleh setiap para pemerintah, pemimpin dan pentadbir maka keunggulan agama Islam dan kewibawaan umat Islam sentiasa berada dalam keadaan yang kukuh dan disegani.

Kesedaran terhadap amanah Allah dalam menerajui kepimpinan negara jika dijadikan sebagai asas atau prinsip hidup maka tidak akan berlaku peristiwa perebutan kuasa dan perasaan ingin mengekalkan kekuasaan sehingga rakyat merasai bosan dan gelisah.

Kuasa dan mandat seseorang pemimpin perlu dilihat dari perspektif Islam iaitu memimpin dan memerintah ketika rakyat dan masyarakat amat memerlukan kepimpinannya. Ucapan Saidina Abu Bakar dihadapan umat Islam ketika beliau dilantik menjadi Khalifah Islam sepatutnya dijadikan sebagai panduan pemimpin Islam.

Ucapan beliau seperti taatilah beliau jika beliau memimpin secara cemerlang, tegurlah beliau jka terdapat kesilapan serta turunkanlah beliau daripada kuasa pemerintah jika beliau gagal memerintah dan enggan melepaskan kuasa. Ucapan Saidina Abu Bakar itu menunjukkan bahwa kuasa pemerintahan dan kepimpinan umat Islam adalah bersifat sementara bukan kuasa mutlak. Oleh itu para pemerintah  dan pemimpin Islam perlu memahami konsep kepimpinan dan pemerintahan dalam Islam jika mereka berjuang untuk kepentingan umat dan Islam.

Sikap Umar 

Setiap pemerintah dan pemimpin umat Islam perlu memahami peranan dan tugas utama mereka dalam menerajui negara. Jika mereka merupakan simbol kepada kedaulatan agama dan bangsa maka corak pemikiran, sikap dan tingkah laku mereke perlu bertepatan dengan simbol kehebatan dan kewibawaan Islam.

Jika pemimpin negara merupakan orang yang memperjuangkan nasib dan kepentingan negara dan rakyat, maka corak pemikiran, sikap dan tingkah laku mesti bertepatan dengan keperibadian orang yang berjuang untuk rakyat.

Sikap dan ketegasan Umar al-Khattab sepatutnya dijadikan panduan kepada pucuk pimpinan negara Islam dalam mengendalikan hal ehwal para pemimpin dibawah kelolaan mereka.

Umar al-Khattab tidak berkompromi dengan sebarang pemimpin dan gabenor yang tidak berkelayakan untuk menerajui kepimpinan negara kerana individu begini bukan sahaja boleh menggagalkan usaha beliau membantu rakyat dalam kemiskinan malah mereka juga oleh melemahkan sistem pentadbiran negara Islam.

Desas desus tentang keperibadian setiap gabenor sentiasa diamati oleh beliau. Contoh yang paling jelas ialah apabila masyarakat mempersoalkan ketelusan Khalid al-Walid dalam kepimpinannya maka Umar al-Khattab meminta beliau meletakkan jawatan sebagai gabenor.

Ini bukan kerana beliau mencurigai ketelusan Khalid tetapi untuk mententeramkan keadaan di kalangan umat Islam. Khalid al-Walid akur kepada arahan khalifah kerana keimanan dan prinsip perjuangan beliau untuk agama dan umat Islam. Sepatutnya sikap dan tindakan Umar al-Khattab dan Khalid al-Walid perlu dijadikan sebagai panduan para pemimpin Islam.

Cara Rasulullah s.a.w menonjolkan kehebatan kepimpinan Islam ketika Baginda membuka Kota Mekah (Fathul-Makkah) perlu dijadikan panduan kepada para pemimpin Islam. Apabila Baginda melaungkan suara kepada penduduk Mekah seperti “Sesiapa yang berada di dalam rumah Abu Sufian adalah aman. Sesiapa yang berada di dalam rumah ibadah adalah aman”, maka tergerak hati Abu Sufian dan penduduk Mekah melihat keindahan Islam dan terus memeluk agama Islam, sedangkan Abu Sufian dan para pemimpin Mekah ketika itu merupakan musuh Islam.

Slogan keamanan yang dilaungkan oelh Baginda memperlihatkan bahwa kepimpinan Islam adalah berasaskan kepada keamanan bukan dendam kesumat seperti mana wujud dalam pemikiran dan tindak tanduk kepimpinan umat Islam masa kini.

Jika seorang pemimpin tidak boleh menerima hakikat bahawa untuk menjadi seorang pemimpin beliau harus merintangi ranjau ranjau berduri yang menyakitkan maka amat merbahaya apabila kuasa berada dalam tangannya.

Berdasarkan kepada fenomena begini maka setiap masyarakat Islam perlu memahami bahawa kewibawaan dan maruah agama dan bangsa hanya dapat dikekalkan jika setiap individu Islam memahami peranan dan tugas mereka dalam menerajui pemerintahan dan kepimpinan negara.

Jika matlamat dan hasrat memerintah dan memimpn hanya untuk menguasai kepentingan peribadi dan keghairahan menikmati keistimewaan sebagai orang berkuasa, maka umat Islam akan menghadapi peristiwa kampung tergadai akibat hilang pedoman dan prinsip hidup sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi.

* artikel oleh Dr Saodah Abd Rahman – Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia : Utusan Malaysia 25hb April 2008

  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: