Home > politik > Periode Isu; kejutan demi kejutan – tersurat, tersirat atau tersorok

Periode Isu; kejutan demi kejutan – tersurat, tersirat atau tersorok

Periode ini   ialah  periode isu. Dalam  Kamus Dewan, makna periode ialah jangka masa. Tentulah tidak tepat jika jangka masa setahun dua ini kita anggap periode isu, kerana itu membawa kesan bahasa masa lain ketiadaan isu. Sebenarnya judul diatas saya berikan kerana impresi tertentu yang saya peroleh. Secara relatifnya, saya dapati, banyak sekali isu masa kini.

Pemberhentian Prefessor Datuk Dr Mohd Razali Agus daripada memegang jawatan Naib Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL) mengejutkan para sarjana yang mengenali beliau. Beberapa orang sarjana bertanya kepada saya soalan itu, kerana ketika itu saya memikirkan bahawa jawapan yang setepat tepatnya amat tersorok.

Bertempat di ASWARA minggu lalu, saya telah berbicara tentang konsep makna tersurat, makna tersirat dan makna tersorok dalam kesusasteraan.

Sekarang kita lihat disekeliling kita. Apa apa yang berlaku atau dilakukan ada maksud, sama ada tersurat, tersirat atau tersorok. Kita ulangi peristiwa lepas sebagai contoh. Usaha Ezam balik ke UMNO, (sekarang Ezam sudah kembali berada di dalam UMNO) ada maksud tersorok. Jika kita gagal memahaminya, maka selama lamanya hal itu itu dianggap tersorok.

Setelah kupasan tentang tindakannya itu telah kita baca, sifat tersoroknya menjadi tipis. Kepulangannya ke UMNO kini dianggap umum mempunyai maksud tersirat. Kesan itu akan berubah lagi jika perkembanganya diikuti terus menerus. Jika dia nanti menjadi tokoh dan pemimpin UMNO, maka makna kepulangannya ke UMNO adalah tersurat.

Kita kembali kepada kisah perkhidmatan Datuk Dr Mohd Razali Agus ditamatkan. Pemberhentian Datuk Dr Mohd Razali Agus itu berlaku kira kira tiga minggu setelah Pengarah Muzium Selangor diberhentikan secara mengejut juga. Kita dapati, kedua dua pemegang jawatan tinggi ini menyatakan rasa tidak puas hati yang amat sangat. Seterusnya, kita merasakan di Malaysia ini pemegang jawatan tinggi di peringkat negeri tidak selamat jika kerajaan bertukar.

Saya tidak berfikir Datuk Dr Mohd Razali Agus tidak cekap dalam bidang pentadbiran. Beliau telah agak lama ( lebih empat tahun) memegang jawatan Timbalan Naib Canselor di Universiti Malaya. Beliau juga pernah memangku jawatan Naib Canselor universiti tersebut. Beberapa orang pensyarah ketika itu mengatakan bahawa beliau tidak hebat berpidato, tetapi itu bukan satu kelemahan menyeluruh. Memang, selama saya mengikuti percakapannya di atas pentas, saya mendapati pidatonya kurang berkesan. Itu sudah lama. Ketika beliau memegang jawatan Naib Canselor UNISEL, saya fikir beliau mungkin berubah.

Pidato bukannya ukuran kehebatan pentadbir, sungguhpun pidato memberikan sumbangan terhadap kekukuhan diri di hati orang bawahan. Saya yakin Datuk Dr Mohd Razali Agus mencapai tahap yang tinggi, atau sekurang kurangnya memuaskan sebagai pentadbir. Walau bagaimanapun saya tidaklah suka mengukur pencapaian seseorang berdasarkan rasa-rasa sahaja.

Tahap pencapaian sebagai pentadbir, sama juga dengan pekerja biasa, adalah subjektif. Ertinya, seseorang boleh mencari kelemahan untuk menganggap kerja seseorang itu bertahap rendah, dan mencari kelebihan untuk menganggap pencapaian seseorang itu bertahap tinggi. Jika politik tidak dicampur adukkan dengan kayu ukur kerja sejati, penilaian akan objektif, atau menuju ke objektiviti. Namun politik sentiasa muncul dimana mana, diserata pelosok tanah air kita. Politik melilau, tercegat dan terpacak di sana sini!

Dalam majlis konvokesyen, ketika beberapa orang berbual bual, seorang sarjana ekonomi dari universiti di utara Semenanjung memberikan komentar tentang hal ini. Katanya: “Razali aktif, itulah masaalahnya”. Sarjana lain memberikan respon. “Aktif atau tidak, itu ialah pilihan peribadi”. kata sarjana yang berada dihadapannya.

“Betul. Tapi kini orang sedang memerhatikan hal hal luaran, bukan sangat hal akademik. Orang memerhatikan kecondongan politik. Jika seseorang itu betul betul berkecuali, dia mungkin tidak tiba ke tahap tertinggi. Jika dia menyebelah, dia akan jatuh berikutan jatuhnya kerajaan yang mendukungnya. Itulah masaalahnya,” sarjana ekonomi itu membalas kata.

Pada 28 Jun 2008, Dr Halimah Ali (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor) mengatakan bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan ahli politik menjadi Naib Canselor UNISEL. Pengganti Datuk Dr Mohd Razali Agus akan dipilih di kalangan ahli akademik yang mampu memajukan pelajar dan universiti, iaitu yang akan memberikan khidmat yang cemerlang. Saya melihat, setelah merenung sejenak kata kata Dr Halimah Ali, ada makna tersirat dibelakang dan di hadapan pemberhentian itu. Makna kata kata itu tidaklah tersorok. Dr Halimah Ali telah menyatakan sikap kerajaan secara umum. Maksud tersirat kata katanya ialah bahawa Datuk Dr Mohd Razali Agus ialah ahli politik.

Apabila kita sampai kepada maksud ini, kita kian yakin bahawa pemberhentian Datuk Dr Mohd Razali Agus memuatkan makna makna tersirat. Maknanya tidak tersorok. Makna tersirat ini boleh menjadi tipis, hingga satu hari akan terlihat sebagai tersurat.

Pemberhentian Datuk Dr Mohd Razali Agus tidak diiringi sebab sebab. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengatakan Datuk Dr Mohd Razali Agus tidak disingkirkan, cuma tugasnya tidak disambung. Kata kata demikian dalam ilmu gaya bahasa disebut litotes. Perkataan ‘disingkirkan’, ‘dipecat’ dan ‘dibuang kerja’ ialah disfeumism. Memang maknanya berbeza, tetapi kesan bagi seseorang pemegang jawatan adalah sama. Orang ramai pun tidak membezakan itu semua.

Pemberhentian kerja secara tiba tiba menyebabkan konsep ‘tugas tidak disambung’ sama dengan pemecatan. Bagi seseorang petugas yang memang sedar bahawa jawatannya ialah jawatan kontrak tahun ke tahun , dia tahu bahawa kemungkinan sentiasa dua. Dia mungkin akan terus berkhidmat, dan mungkin juga tidak. Penjawat tidak akan berasa tersinggung jika jawatannya habis setakat tamatnya satu jangka masa kontrak. Permohonan untuk terus berkhidmat belum tentu akan berjaya.

Laporan akhbar mengatakan Datuk Dr Mohd Razali Agus diminta mengambil cuti, dan kemudian tugasnya tamat pada akhir Julai tahun ini. Beliau sendiri amat terkejut apabila menerima surat berkenaan.

Bagaimanapun, era ini era kejutan. Bagi rakyat Malaysia, kejutan kerana pemberhentian Professor Datuk Dr Mohd Razali Agus adalah kejutan kecil. Saya mendapati, rakyat Malaysia lebih terkejut apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa ke Kedutaan Turki, berlindung. Tuduhan yang dikenakan kepadanya adalah ulangan, jadi tidak terlalu mengejutkan. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap cukup handal berhadapan dengan aneka kerenah politik, tiba tiba pergi berlindung di Kedutaan Turki memang amat mengejutkan.

Sebelum itu kita terkejut dengan melaratnya kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu.  Akhbar-akhbar 26 Jun 2008 memuatkan penafian Datuk Seri Najib Tun Abd Razak terhadap kata-kata Raja Petra Kamarudin berkaitan Datin Seri Rosmah Mansor. Hal lain berkenaan Altantuya tidak wajar disentuh, kerana itu masih dalam perbicaraan di mahkamah. Maksud hal tersebut disentuh ialah untuk menyatakan bahawa semua itu merupakan isu-isu yang besar dan berat, dan benar-benar menimbulkan kejutan.

Oleh itu, peristiwa pemberhentian Datuk Dr Mohd Razali Agus dan juga Maimunah Mohd Saidas (Pengarah Muzium selangor), tidaklah begitu besar.

* rencana oleh Rahman Shaari, dipetik dari ruangan Bicara Selasa m/s N15 Sinar Harian 1 Julai 2008,

Categories: politik
  1. sudin
    August 5, 2008 at 11:10 am

    menarik jugak ni… tersurat, tersirat dan tersorok

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: