Home > politik > Isu bahasa menguji kuasa politik orang Melayu

Isu bahasa menguji kuasa politik orang Melayu

ORANG Melayu sekali lagi diuji. Seperti biasa bahasa Melayu menjadi titik tolaknya sekali pun bahasa Melayu sewajarnya tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak khususnya oleh kalangan bukan Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu telah diletakkan di tempat yang selamat dalam Perlembagaan dan bertaraf bahasa kebangsaan di negara ini. Apabila sesuatu bahasa itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan tetapi bukanlah dalam situasi yang rasmi. Tetapi di negara ini, ada pihak yang tanpa rasa bersalah mahu melanggar kedudukan bahasa Melayu dan cuba “memartabatkan” bahasa lain.

Mencabar, menguji atau apa saja istilah yang sama erti dengannya sebenarnya boleh dianggap mencabar kuasa politik orang-orang Melayu.

Perbuatan ini bukanlah kerana kejumudan kefahaman sesuatu pihak tetapi mahu menguji sejauh manakah politik Melayu bangun mempertahankan apabila bahasa Melayu diperlekehkan secara terhormat.

Ini adalah satu yang disengajakan dan tidak dapat dinafikan unsur-unsur kaum terselit bersama-sama isu ini.

Adakah kalangan orang politik Melayu melihat isu perlekeh bahasa Melayu ini melampaui isu bahasa semata-mata? Ini bukan isu bahasa, ini isu politik di mana kuasa politik bukan Melayu menguji politik Melayu yang terkenal dengan ketidakpekaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Kalau ditoleh, isu-isu bahasa Melayu sebelum ini tercetus kerana sesetengah kalangan orang politik Melayu memberi ruang untuk bahasa itu dipijak.

Bahasa Melayu tidak diangkat ke persada sewajarnya kerana kuasa politik Melayu tidak bersungguh-sungguh ke arah itu. Malah banyak gejala perlekehan bahasa Melayu dilakukan oleh orang politik Melayu sendiri.

Isu papan tanda di enam jalan di Pulau Pinang yang ditambah dalam tulisan Cina oleh parti Gerakan adalah suatu yang sangat jelas. Rasional menambah tulisan Cina pada papan tanda jalan itu adalah satu kesengajaan, ia bukan satu keperluan sama ada untuk orang tempatan atau pelancong asing.

Orang bukan Melayu di Pulau Pinang semuanya faham bahasa Melayu dan boleh membaca tulisan Rumi bahasa Melayu. Malah generasi bukan Melayu yang tidak dilahirkan di negara ini khususnya di Pulau Pinang hampir sudah tidak ada, kalau generasi ini dijadikan alasan tidak tahu berbahasa Melayu. Jadi orang Cina atau India di Pulau Pinang adalah anak kelahiran negara ini yang tahu berbahasa Melayu.

Maka isu papan tanda itu boleh dianggap provokasi Gerakan sebuah parti politik majoritinya orang Cina. Pulau Pinang antara negeri yang jatuh ke tangan DAP sebuah parti pembangkang yang majoritinya orang Cina. Sebelum ini Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Apabila papan tanda tulisan Cina dimulakan oleh Gerakan, kita boleh bertanya, apa bezanya idealisme Gerakan dengan DAP khususnya dalam soal ini? Ternyata Gerakan cuba bermain api dengan orang- orang Melayu Pulau Pinang apabila mereka dilihat tidak ada bezanya dengan DAP yang selalu bangkit dengan isu-isu yang tebal dengan sentimen kaum.

Ada pihak yang berkata, sekiranya DAP yang menaikkan papan tanda tulisan Cina, mereka tidak terkejut. Tetapi semacam tidak percaya apabila Gerakan sendiri yang berbuat begitu apabila Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

Lalu mereka bertanya lagi, apa muslihat Gerakan dalam konteks kesefahaman dengan kaum-kaum lain di Pulau Pinang dan negara ini? Ternyata menaikkan papan tanda jalan tulisan Cina tidak ada alasan yang jelas kecuali provokasi untuk menguji sensitiviti orang Melayu. Gerakan sepatutnya lebih faham daripada DAP dalam isu bahasa Melayu di negara ini.

Apabila isu bahasa Melayu menjadi isu politik, orang-orang politik Melayu mesti bangkit mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu daripada terus dipersendakan seperti ini. Orang politik Melayu perlu lebih menonjol dan memperlihatkan kesungguhan bukan saja dalam konteks isu papan tanda jalan di Pulau Pinang malah isu yang melibatkan bahasa Melayu seluruhnya.

Desakan ini bukanlah menyalakan api perkauman, sebaliknya melaksanakan yang telah dipersetujui bersama dalam Perlembagaan. Isu bahasa Melayu tidak boleh dilihat terpisah dengan perjuangan politik Melayu.

Di negara ini isu bahasa Melayu bukan saja tugas pejuang bahasa. Pejuang bahasa telah memperlihatkan pendirian yang sangat konsisten tentang kedudukan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Memperjuangkan bahasa Melayu daripada jurus politik sangat penting kerana apa yang berlaku di Pulau Pinang digerakkan oleh pejuang politik.

Walaupun Melayu menjadi majoriti penduduk Pulau Pinang, tetapi mereka tidak mendesak papan tanda jalan dalam tulisan Jawi. Di Kuala Lumpur ada papan tanda bertulisan Jawi. Ini menunjukkan orang Melayu Pulau Pinang sangat toleran kerana hanya menerima tulisan Rumi, sekalipun di negeri lain ada papan tanda tulisan Jawi.

Parti Gerakan sepatutnya melihat perkara ini sebelum ghairah menjulang sesuatu yang berbau kecinaan. Jadi apakah maknanya toleransi orang Melayu apabila Gerakan melancarkan provokasi menaikkan papan tanda tulisan Cina? Apa kena mengena Tapak Warisan Dunia dengan tulisan Cina?

Maka yang jelas tindakan Gerakan ini bermotifkan perkauman dan tidak ada kena mengena dengan beberapa lokasi di Pulau Pinang diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Reaksi tokoh budaya dan ahli akademik, Prof Dr. Siti Zainon Ismail mengenai isu papan tanda jalan beberapa hari lalu wajar ditelaah dengan penuh penghayatan oleh orang-orang politik Melayu.

Antara lain kata Dr. Siti Zainon, “Saya hendak tanya, apa orang-orang politik Melayu buat dalam mempertahankan bahasa dan bangsa sendiri? Kami pendidik, sudah memberikan pendidikan yang secukupnya kepada mereka (orang politik Melayu). Tolonglah jangan lupa lagi, jangan sampai tergadai.”

Tolak ansur orang Melayu selalu diambil peluang oleh pihak-pihak yang tidak menghargai sikap tolak ansur itu. Akhirnya merekalah yang “menolak” orang Melayu daripada bercakap tentang bahasa dan bangsanya.

Apabila Melayu bersuara, dengan pantas pula dianggap “perkauman” sedangkan tindakan mereka “menolak” Melayu lebih bersifat perkauman. Dalam isu papan tanda jalan di Pulau Pinang ini, Gerakan mesti lebih “sedar diri” , begitu juga orang politik Melayu jangan membiarkan kepala mereka dipijak.

Papan tanda jalan bertulisan Cina adalah isyarat awal dominasi budaya. Kalau ini dianggap api, eloklah dipadam awal-awal lagi daripada merebak dan membakar negeri.

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
(WARTAWAN UTUSAN)
utusan malaysia 26 Julai 2008 >> rencana muka 10

Categories: politik
  1. SayangJawi
    September 26, 2008 at 5:50 am

    Jadi, orang Melayu yang cukup menghormati budaya asing terpaksa ‘mengamuk’ setelah budayanya diperlekeh melalui provokasi. Sejarah 13 Mei 1969 manjadi catatan. Alasan majmuk, toleransi, muhibah, kebebasan bersuara yang bermatlamat mengetepikan budaya Melayu memang jelas berlaku yang bertujuan mendominasi budaya Cina. Kenapa kebudayaan negara bangsa asing (pendatang) perlu mendominasi budaya negara ini.

  2. Mat Sufi
    October 5, 2008 at 3:02 pm

    Mari kita persoalkan pula kerakyatan kaum Cina di negara ini. Adakah kaum Cina di negara ini pendukung kebudayaan dan sikap negara ini? Kalau benar kenapa masih menjadi pendukung kebudayaan asal kependatangan mereka, sekolah jenis kebangsaan, akhbar berbahasa asing dan tidak akhbar berbahasa Melayu.

  3. toyu
    October 6, 2008 at 11:40 pm

    terima kasih buat SayangJawi dan Mat Sufi kerana sudi menjenguk lama toyu.
    Rasanya kita (bangsa melayu) ni sedang kian merudum tahap kesihatannya tanpa adanya kaedah rawatan yang rapi dan juga tanpa pakar rawatan. yang ada pun mungkin malas nak merawatnya lantas dipijak pijak agar cepat mati. agaknya laaa… hehehehe…

  4. November 7, 2008 at 6:24 pm

    Tuan,

    Sebenarnya perihal bahasa Melayu ini sudah tidak wajar menjadi isu kerana menjadi antara persetujuan terawal politik dalam hubungan PUTERA-AMCJA yang memuktamadkan bahawa Melayu sebagai rupa bangsa dan citra warganegara bagi Malaysia. Inilah antara kontrak sosial terawal penduduk Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia) yang dapat dilihat dalam manifesto pilihanraya pertama pada tahun 1955 oleh Perikatan UMNO-MCA-MIC iaitu “menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.

    Namun kini setelah kemerdekaan berusia setengah abad sejauhmana kata dikota? Ketika semua orang menunding jari telunjuk pada kaum lain saya rasa 3 jari yang lain akan menunjuk pada batang tubuh Melayu itu sendiri yang mengkhianati warisan bahasa leluhur mereka. Jawapannya saya kira dalam satu frasa dan premis iaitu “Memelayukan Bahasa dan Membahasakan Melayu”.

  5. pikir
    November 20, 2008 at 6:22 am

    kalau betul nak memartabatkan Bahasa Melayu,ubah bahasa pengantar yang digunakan di universiti tempatan. universiti tempatan yang mengunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar perlu diarahkan menggunakan Bahasa Melayu oleh pihak kerajaan. Pemartabatan Bahasa Melayu memerlukan niat yang betul-betul ikhlas, bukan bertujuan politik semata-mata iaitu mencari keburukan parti politik pihak lawan. Begitu juga dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Subjek Sains dan Matematik yang jelas melanggar Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Perkara 152 menyatakan Bahasa Melayu perlu digunakan dalam urusan rasmi dan proses pembelajaran di sekolah termasuk dalam urusan-urusan rasmi. Jangan mudah terpedaya dengan dakyah..pikirlah sendiri..

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: